Kejayaan Majapahit Majapahit

Penguasa Majapahit semasa zaman kegemilangannya ialah semasa zaman pemerintahan Hayam Wuruk, yang memerintah dari tahun 1350 hingga 1389.

Majapahit ialah kerajaan Hindu-Buddha yang terakhir dan masyhur di Nusantara. Kerajaan ini didahului oleh kerajaan Srivijaya yang berpusat di Palembang di pulau Sumatra.

Pengasas Majapahit, Raden Wijaya, merupakan menantu kepada Kertanegara, Raja Kerajaan Singhasari yang juga berpusat di Jawa. Selepas Singhasari mengusir Srivijaya dari Jawa secara keseluruhannya pada tahun 1290, kekuasaan Singhasari mula menjadi perhatian Kublai Khan di China dan dia mengirim duta untuk mengutip ufti.

Kertanagara, pengasas kerajaan Singhasari, menolak untuk membayar ufti dan menghukum wakil Khan yang dianggap pencuri. Khan menghantar 1000 buah kapal untuk menyerang Jawa tahun 1293.

Pada ketika itu, seorang pemberontak dari Kediri, Jayakatwang, telah membunuh Kertanagara dan merampas takhta Singhasari. Raden Wijaya mengambil kesempatan berpakat dengan tentera Mongol untuk menumpaskan Jayakatwang bagi merampas semula takhta dan menuntut bela kematian Kertanegara. Kemudian, Raden Wijaya menyerang hendap tentera Mongol serta memaksa tentera Mongol untuk berundur keluar dari Pulau Jawa dalam keadaan kelam-kabut. Seterusnya Raden Wijaya mengasaskan Kerajaan Majapahit, sempena nama buah maja yang pahit.

Gajah Mada, seorang patih dan bupati Majapahit dari 1331 ke 1364, memperluas kekuasaan-kekuasaan ke pulau-pulau sekitarnya.Beberapa tahun selepas kematian Gajah Mada, angkatan laut Majapahit menawan Palembang dan menakluk daerah terakhir kerajaan Srivijaya.

Walaupun pengasas Majapahit melebarkan kekuasaan mereka ke tanah seberang di seluruh Nusantara dan membinasakan kerajaan-kerajaan jiran, tumpuan mereka adalah untuk menguasai dan memonopoli perdagangan komersil antara pulau.

Ketika Majapahit didirikan, pedagang Muslim dan para mubaligh mula memasuki Nusantara.Selepas mencapai puncaknya pada abad ke-14, tenaga Majapahit beransur-ansur lemah dan perang saudara merebut takhta (dikenali sebagai Perang Paregreg) yang bermula dari tahun 1401 dan berlangsung selama empat tahun melemahkan Majapahit. Setelah ini Majapahit ternyata tidak dapat menguasai Nusantara lagi.

Kehancuran Majapahit terjadi kira-kira pada sekitar tahun 1500-an meskipun di Jawa ada sebuah khronogram atau candrasengkala yang berbunyi: sirna hilang kretaning bumi. Sengkala ini kononnya ialah tahun berakhirnya Majapahit dan harus dibaca sebagai 0041 = 1400 Saka => 1478 Masihi. Maksud sengkala ini ialah “sirna hilanglah kemakmuran bumi (Majapahit)”. Menurut catatan Babad Tanah Jawi, Majapahit ditumpaskan oleh Kesultanan Demak pada tahun 1527. Pengasas Kesultanan Demak, Raden Patah, ialah putera Raja Majapahit terakhir, Brawijaya V dengan gundik Cina. Selepas berakhirnya Majapahit di tangan Kesultanan Demak, para kerabat dan ningrat (bangsawan) Majapahit yang enggan memeluk Islam telah lari ke Pulau Bali.